Monday, August 31, 2009

Sejarah Awal Kedah


Perkembangan sejarah awal Negeri [[Kedah]] dan lain-lain negeri di Semenanjung [[Malaysia]] adalah disebabkan oleh kedudukan ilmu alamnya yang begitu strategik di rantau ini. Dipandang dari sudut prasejarah, sekurang-kurangnya Semenanjung Malaysia disifatkan sebagai jambatan atau landasan yang dilalui oleh manusia di dalam proses migrasi dari utara ke selatan dan seterusnya ke kepulauan [[Asia Tenggara]] dan Pasifik.

Kemudian tatkala perdagangan maritim berkembang dengan pesatnya, Semenanjung ini telah memainkan peranan yang penting sekali kerana kedudukannya di pertengahan antara dua pusat perdagangan yang besar di masa itu iaitu India dan negara-negara Arab di sebelah barat dan Negeri [[China]] di sebelah timur. Di kala pelayaran laut hanya bergantung kepada tiupan angin monsun, dan sementara menunggu pertukaran haluan tiupan angin tersebut, Semenanjung Malaysia telah dijadikan bukan sahaja tempat berteduh tetapi juga sebagai tempat untuk membuat pertukaran dagangan mereka.

Dilihat dari sudut yang tersebut di atas, kita dapati Negeri Kedah mempunyai beberapa keistimewaan yang tersendiri yang secara tidak langsung telah menghasilkan keunikan perkembangan sejarah yang dilaluinya. Gua-gua batu kapur yang merupakan tempat tinggal atau tempat persinggahan masyarakat zaman prasejarah banyak terdapat di daerah-daerah [[Kubang Pasu]], [[Kota Star]] dan [[Baling]]. Apa yang lebih menarik ialah terdapatnya sebuah gunung yang tersergam indah di persisiran pantai yang dipercayai telah menjadi landmark kepada pelayar-pelayar yang melalui [[Lautan Hindi]] di zaman yang silam. Di samping itu, Negeri Kedah juga boleh dihubungi melalui jalan darat dengan negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia tanpa menghadapi kesulitan (Wheatley 1961 : xxvi ; Braddle 1980 ).

Keseluruhan faktor-faktor yang tersebut di atas dengan sendirinya menunjukkan keagungan sejarah yang telah dilalui oleh Kedah khasnya dan Semenanjung Malaysia amnya

Tamadun di selatan Kedah atau di Lembah Bujang (Serpent Valley ) di awal abad Masihi hingga 20 Masihi mempunyai perhubungan yang sangat intim dengan aktiviti perdagangan maritim di antara beberapa negara di Asia, China, Asia Barat dan India.

Perkembangan pelabuhan entrepotnya sering dikaitkan dengan kerajaan Thalassocracy Srivijaya. Penemuan tapak tanah bersejarah dengan beratus ribu pecahan seramik, kaca dan manik sama ada dari China, Asia Barat, India atau tempatan, runtuhan candi pengabdian terhadap Buddha atau Hindu, struktur bandar atau pelabuhan yang tenggelam, artifak budaya seperti patung-patung atau arca, batu bersurat dan peralatan yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat telah menobatkan gugusan ini sebagai tempat terasasnya negara pesisiran Kedah purba.

Sungai Mas dan koridor Sungai Muda merupakan tapak tanah sejarah yang merentasi zaman prasejarah kebudayaan Hoabinhian, protosejarah dan sejarah. Walaupun penyelidikannya telah menjangkau seratus lima puluh tahun, tetapi usaha membongkar, menyingkap dan merekonstruksi sejarah, peranan dan perkembangannya masih menjadi perdebatan dan belum menemui titik pertemuan.

Status dan potensinya yang diperakui oleh peserta projek Intra-ASEAN : Ekskavasi Arkeologi dan Konservasi Lembah Bujang, Kedah 1985, serta diperakui di dalam Malaysian Book of Records kerana memiliki berpuluh ribu manik purba dan salah satu lokasi pembuat manik di kawasan Indo-Pasifik menjadikan ia tapak yang komprehensif. Pelabuhan yang sangat diperlukan dan memiliki laluan transpeninsular yang menghubungkan Kedah Purba - Langkasuka (Patani) meletakkan ia sebagai bandar pelabuhan yang terbilang.


No comments:

Post a Comment