Monday, August 31, 2009

Bahasa Membudayakan Bangsa Kita......Melayu

Bahasa Melayu (Jawi: بهاس ملايو) ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia,Indonesia, dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lagi. Walaupun asal usul bangsa Melayu (dalam pengertian yang khusus) yang paling asal belum diketahui secara pasti tetapi pertumbuhan bahasa Melayu dapatlah dikatakan berasal dari Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang.[1] Rekod terawal bahasa Melayu Kuno ialah sebuah batu bersurat bertarikh 682 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan.
Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, dan Brunei, serta salah satu bahasa rasmi di Singapura. Di Indonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia, dan di Malaysia, bahasa Melayu juga dipanggil bahasa Malaysia. Selain daripada keempat-empat negara tersebut, bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di Thailand Selatan, Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.
Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain.
Bahasa Melayu Piawai ialah Bahasa Melayu Riau, Indonesia, seperti yang dipersetujui oleh Indonesia, Malaysia, dan Brunei. Bahasa Melayu Riau dianggap tempat kelahiran bahasa Melayu. Di Malaysia, bahasa Melayu mengalami perubahan nama beberapa kali. Pada awal 1970-an, Bahasa Melayu dinamakan Bahasa Malaysia atas sebab politik. Namun sejak akhir-akhir ini, nama "Bahasa Melayu" digunakan semula. Bermula tahun 2007, bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada Bahasa Malaysia sebagai simbol bahawa bahasa ini adalah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum. Di Indonesia, bahasa Melayu juga dikenali sebagai Bahasa Indonesia atas sebab persatuan dan kesatuan bangsa Indonesia iaitu Sumpah Pemuda tahun 1928. Di Singapura dan Brunei, Bahasa Melayu tidak mengalami sebarang perubahan nama.
Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dan kosa kata. Misalnya, bahasa Melayu Jawa atau bahasa Jawa mempunyai banyak perkataan yang tidak diketahui oleh penutur bahasa Melayu yang lain. Selain itu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat peranakan atau Cina Selat (campuran pendatang Cina dan penduduk asal) merupakan campuran antara Bahasa Melayu dan dialek Hokkien. Bahasa ini dahulunya banyak digunakan di negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang dan Melaka. Walaubagaimanapun, kini kaum peranakan lebih gemar berbahasa Hokkien atau Inggeris. Bahasa Melayu merupakan bahasa aglutinatif, bermaksud makna perkataan boleh diubah dengan menambah imbuhan tertentu. Umumnya, kata dasar (atau kata akar) terdiri daripada kata kerja.
Penggunaan Bahasa Melayu di negara-negara ini berbeza bergantung kepada sejarah dan budaya. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada 1968, tetapi Bahasa Inggeris masih digunakan dengan luas terutama sekali di kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di Brunei. Berbeza di Indonesia, Bahasa Indonesia berjaya menjadi bahasa perantaraan utama atau lingua franca untuk rakyatnya yang berbilang kaum kerana usaha gigih kerajaan Indonesia dalam menggalakkan penggunaan Bahasa Indonesia selain Bahasa Belanda yang tidak lagi digunakan. Di Timor Leste, sekarang terlepas dari Indonesia menjadi negara Timor Leste, Bahasa Indonesia diterima sebagai "bahasa berkerja". Di Singapura, Bahasa Melayu dikekalkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi (iaitu Bahasa Inggeris, Cina, India, dan Melayu.) Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang daripada Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu Pattani), tetapi tidak memperolehi sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.
Pada awal tahun 2004, Dewan Bahasa dan Pustaka dan MABBIM mencadangkan Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi ASEAN memandangkan lebih separuh jumlah penduduk ASEAN mampu bertutur dalam Bahasa Melayu. Walaubagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan.

Sejarah Awal Kedah


Perkembangan sejarah awal Negeri [[Kedah]] dan lain-lain negeri di Semenanjung [[Malaysia]] adalah disebabkan oleh kedudukan ilmu alamnya yang begitu strategik di rantau ini. Dipandang dari sudut prasejarah, sekurang-kurangnya Semenanjung Malaysia disifatkan sebagai jambatan atau landasan yang dilalui oleh manusia di dalam proses migrasi dari utara ke selatan dan seterusnya ke kepulauan [[Asia Tenggara]] dan Pasifik.

Kemudian tatkala perdagangan maritim berkembang dengan pesatnya, Semenanjung ini telah memainkan peranan yang penting sekali kerana kedudukannya di pertengahan antara dua pusat perdagangan yang besar di masa itu iaitu India dan negara-negara Arab di sebelah barat dan Negeri [[China]] di sebelah timur. Di kala pelayaran laut hanya bergantung kepada tiupan angin monsun, dan sementara menunggu pertukaran haluan tiupan angin tersebut, Semenanjung Malaysia telah dijadikan bukan sahaja tempat berteduh tetapi juga sebagai tempat untuk membuat pertukaran dagangan mereka.

Dilihat dari sudut yang tersebut di atas, kita dapati Negeri Kedah mempunyai beberapa keistimewaan yang tersendiri yang secara tidak langsung telah menghasilkan keunikan perkembangan sejarah yang dilaluinya. Gua-gua batu kapur yang merupakan tempat tinggal atau tempat persinggahan masyarakat zaman prasejarah banyak terdapat di daerah-daerah [[Kubang Pasu]], [[Kota Star]] dan [[Baling]]. Apa yang lebih menarik ialah terdapatnya sebuah gunung yang tersergam indah di persisiran pantai yang dipercayai telah menjadi landmark kepada pelayar-pelayar yang melalui [[Lautan Hindi]] di zaman yang silam. Di samping itu, Negeri Kedah juga boleh dihubungi melalui jalan darat dengan negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia tanpa menghadapi kesulitan (Wheatley 1961 : xxvi ; Braddle 1980 ).

Keseluruhan faktor-faktor yang tersebut di atas dengan sendirinya menunjukkan keagungan sejarah yang telah dilalui oleh Kedah khasnya dan Semenanjung Malaysia amnya

Tamadun di selatan Kedah atau di Lembah Bujang (Serpent Valley ) di awal abad Masihi hingga 20 Masihi mempunyai perhubungan yang sangat intim dengan aktiviti perdagangan maritim di antara beberapa negara di Asia, China, Asia Barat dan India.

Perkembangan pelabuhan entrepotnya sering dikaitkan dengan kerajaan Thalassocracy Srivijaya. Penemuan tapak tanah bersejarah dengan beratus ribu pecahan seramik, kaca dan manik sama ada dari China, Asia Barat, India atau tempatan, runtuhan candi pengabdian terhadap Buddha atau Hindu, struktur bandar atau pelabuhan yang tenggelam, artifak budaya seperti patung-patung atau arca, batu bersurat dan peralatan yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat telah menobatkan gugusan ini sebagai tempat terasasnya negara pesisiran Kedah purba.

Sungai Mas dan koridor Sungai Muda merupakan tapak tanah sejarah yang merentasi zaman prasejarah kebudayaan Hoabinhian, protosejarah dan sejarah. Walaupun penyelidikannya telah menjangkau seratus lima puluh tahun, tetapi usaha membongkar, menyingkap dan merekonstruksi sejarah, peranan dan perkembangannya masih menjadi perdebatan dan belum menemui titik pertemuan.

Status dan potensinya yang diperakui oleh peserta projek Intra-ASEAN : Ekskavasi Arkeologi dan Konservasi Lembah Bujang, Kedah 1985, serta diperakui di dalam Malaysian Book of Records kerana memiliki berpuluh ribu manik purba dan salah satu lokasi pembuat manik di kawasan Indo-Pasifik menjadikan ia tapak yang komprehensif. Pelabuhan yang sangat diperlukan dan memiliki laluan transpeninsular yang menghubungkan Kedah Purba - Langkasuka (Patani) meletakkan ia sebagai bandar pelabuhan yang terbilang.